‘Hype’ untuk Wi-Fi 6 dan 6E masih belum berakhir, tetapi China sudah ingin beralih ke teknologi Wi-Fi 7.Samalah juga halnya dengan 5G.Di waktu kita sedang cuba membicarakan tentang 5G dan Internet of Things (IoT), China sudah berlumba untuk segera beralih ke teknologi 6G dan Internet of Everything (IoE).
Jika IoT tertumpu kepada sambungan antara peranti pintar dan perkakasan autonomi, IoE pula akan menumpukan kepada sambungan antara satu badan manusia ke badan manusia yang lain, seperti sambungan antara otak ke otak (contoh). Itulah dia yang sedang dibangunkan oleh sebuah makmal di China. Wakilnya berkata mereka telah membuat satu kejayaan dalam teknologi komunikasi mudah alih generasi akan datang.
Sebuah institut yang disokong kerajaan bernama Purple Mountain Laboratories mengeluarkan kenyataan pada hari Rabu lalu, bahawa pasukan penyelidik yang diketuai oleh ketua profesor saintisnya, You Xiaohu telah mencapai transmisi tanpa wayar peringkat generasi keenam (6G) sehingga memperoleh kelajuan 206.25 gigabit sesaat buat kali pertama dalam persekitaran makmal.
Projek itu disokong oleh projek khas kerajaan untuk 6G, dan dicapai dengan kerjasama antara gergasi telekomunikasi China Mobile dan Universiti Fudan. Kepantasan yang dicapai ialah rekod dunia untuk penghantaran wayarles masa nyata dalam jalur frekuensi terahertz (300GHz~3THz), yang dianggap sebagai asas untuk komunikasi mudah alih 6G di masa hadapan.
Gergasi peralatan telekomunikasi China – Huawei Technologies Co, yang merupakan pembekal utama peralatan rangkaian 5G, menjangkakan teknologi 6G akan memasuki pasaran sekitar 2030.Abam pun tak tahulah apa faedahnya abam tulis berita ni untuk korang. Pada tahun 2030, kita berkemungkinan masih lagi akan ‘merangkak’ mendapatkan 5G, yang bermaksud kita akan tertinggal sebanyak dua generasi teknologi internet mudah alih di waktu dunia sedang beralih ke arah 6G.
Menyebut tentang 5G, sekarang ni masih belum ada berita sama ada telco di Malaysia sudah boleh menjalankan 5G sendiri atau tidak kerana kabinet hanya akan memutuskan mengenai perkara tersebut pada bulan ini.
Secara peribadi, abam dah tak kisah pun sama ada DNB menjalankan 5G di Malaysia secara tunggal, atau tanggungjawab ini diberikan kepada telco. Apa yang penting ialah kemajuan kita ke hadapan dalam pembangunan dan pengembangan 5G.Harapannya agar tahun 2022 ini kita mampu berbangga melihat ianya berkembang dengan pantas di samping penambahbaikan terhadap liputan 4G sedia ada.
Sumber: https://cutt.ly/DUMXrJp