info

Awas Sindiket Pencurian Wang Menerusi Telefon Bimbit! Jangan Install Aplikasi Sembarangan!

Awas Sindiket Pencurian Wang Menerusi Telefon Bimbit! Jangan Install Aplikasi Sembarangan!

Bulan ini sahaja sudah dua kes yang saya tengok melibatkan modus operandi yang hampir sama. Modal kerugian juga bukanlah kecil, malah melibatkan nilai puluhan ribu ringgit!

Mangsa biasanya daripada golongan yang “tech savvy” dan mempunyai wang yang banyak. Mereka akan mencari perkhidmatan melalui talian dan juga media sosial. Kebiasaannya perkhidmatan pembantu rumah ataupun penjaga sementara.

Mangsa akan menghubungi sindiket dan seterusnya sindiket akan mengatakan masih banyak lagi slot kosong untuk perkhidmatan dan mangsa dikehendaki menempah slot melalui sistem mereka.

Mangsa yang agak “tech savvy” tidak akan mengesyaki apa-apa kerana mereka sudah biasa dengan proses janji temu melalui tempahan atas talian. Mangsa akan diberikan link untuk memuat turun dan memasang aplikasi oleh sindiket.

Aplikasi ini adalah aplikasi berasingan dan bukannya berada di dalam Google Play Store ataupun Apple Apps Store. Aplikasi ini akan meminta kebenaran daripada telefon untuk membaca log panggilan dan juga SMS mangsa.

Seterusnya, mangsa akan diminta membuat bayaran di dalam aplikasi oleh sindiket. Mangsa seterusnya akan memasukkan maklumat kata laluan bank di dalam aplikasi yang telah bijak menukar antaramuka aplikasi agar sama dengan laman pembayaran bank yang sebenar.

Biasanya, pembayaran akan dikatakan gagal dalam aplikasi lalu mangsa akan diminta untuk cuba membayar menggunakan akaun bank yang lain. Dengan ini, sindiket sudahpun berjaya mencuri 2 maklumat akaun bank mangsa.

Dalam masa singkat sahaja selepas “pembayaran”, sindiket akan memindahkan wang daripada akaun pertama mangsa ke dalam akaun kedua. Wang daripada akaun kedua seterusnya akan dipindahkan ke dalam akaun keldai sindiket. Beberapa transaksi dilakukan dalam masa beberapa minit sahaja sehingga akaun mangsa kehabisan wang.

Sindiket berjaya memperoleh maklumat akaun bank mangsa kerana mangsa telah pun memberi maklumat kata laluan perbankan internet mereka menerusi aplikasi sindiket tadi. Nombor TAC juga berjaya diperolehi kerana aplikasi tadi telah meminta kebenaran membaca log panggilan dan SMS mangsa.

Diingatkan, jangan sewenang-wenangnya memasang dan muat turun aplikasi tidak rasmi. Aplikasi hasad ini akan hadir dalam pelbagai nama dan rupa sama ada perkhidmatan, laman jual beli, perjudian mahupun pekerjaan berasaskan komisen.

Atau, guna sahaja cara lama. Bayar sahaja dengan tunai sekiranya anda ingin menempah perkhidmatan. Tak salah jika anda “buat-buat bodoh” kononnya tidak pandai teknologi. Kerana kadangkala, buat-buat bodoh boleh menjadikan anda cerdik dan tidak mudah ditipu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Articles

Back to top button